MENU

SWCorp sasar kurangkan sampah 30%

02 September 201512:21 AM

KLUANG 1 Sept.– Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersih­an Awam (SWCorp) menyasarkan pengurangan sebanyak 30 peratus sampah-sarap setiap hari dengan pelaksanaan Program Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca yang bermula hari ini.

Pengarah SWCorp negeri, Asri Amat berkata, kutipan sampah yang dicatatkan pihaknya kini mencecah 4,000 tan setiap hari di pusat-pusat pelupusannya.

Menurutnya, pengurangan kira-kira 30 peratus sampah yang boleh dikitar semula itu mampu menjadikan jumlah kutipan menurun kepada hanya 2,800 tan sehari.

"Selaras dengan pelaksanaan pengasingan tersebut, SWCorp konsisten dengan data yang diperoleh sebelum ini, iaitu sasaran untuk mengurangkan sebanyak 1,200 tan sampah sehari.

"Pengurangan itu tidak bermakna jumlah sampah yang dibuang oleh isi rumah dan sebagainya akan menurun tetapi jumlah sisa yang dibawa ke pusat pelupusan yang akan berkurang," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pelaksanaan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca di perkarangan Persiaran Datuk Haji Ismail Hasan, di sini hari ini.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Mahkota, Md. Jais Sarday yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri.

Sementara itu, Md. Jais yakin pelaksanaan peraturan baharu itu secara tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan negeri menjayakan Program Johor Bersih dan Lestari.

"Kita menyasarkan untuk menjadi sebuah negeri terbersih menjelang 2020. Jadi, usaha bersepadu antara SWCorp, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat amat perlu untuk merealisasikan perkara itu," katanya.

Beliau berkata, SWCorp juga digalakkan untuk bekerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan untuk menanam kesedaran dalam kalangan pelajar dan seterusnya menggalakkan mereka mengamalkan pengasingan sampah di rumah.

- Sumber dari: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/swcorp-sasar-kurangkan-sampah-30-1.130580#sthash.QOpNNk8O.dpuf