Kerajaan Negeri Johor melalui Tourism Johor telah menganjurkan Majestic Johor Food Awards 2025 pada 22 Februari 2025 di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru sebagai inisiatif untuk mengiktiraf serta memartabatkan bakat-bakat tempatan dan antarabangsa dalam bidang kulinari, termasuk chef, restoran, dan semua pihak yang terlibat dalam industri makanan.
Sebagai sebahagian daripada program ini, lawatan Famtrip telah diadakan bagi meraikan delegasi peserta dari Taiwan & Hong Kong, dengan Simpang Renggam menjadi salah satu destinasi pilihan. Lawatan ini bertujuan untuk memperkenalkan keunikan agro-pelancongan serta keistimewaan produk tempatan di daerah ini, selain membuka peluang bagi potensi pelaburan dalam pembangunnan ekonomi setempat dan industri makanan di daerah Simpang Renggam.
Delegasi dibawa melawat Ladang Nanas Peninsula Plantations untuk melihat sendiri proses penanaman hingga pembungkusan buah, menikmati hidangan tengah hari di Kellypojawani Café & Guesthouse, dan seterusnya mengunjungi Kilang Daily Fresh, di mana mereka diberi penerangan mengenai pelbagai produk yang dihasilkan serta peluang kolaborasi dalam pasaran antarabangsa.
Semoga kunjungan ini bukan sahaja memperkenalkan Simpang Renggam sebagai destinasi agro-pelancongan yang unik, tetapi juga menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa serta membuka ruang kepada pelabur untuk menerokai potensi yang ditawarkan di daerah ini.
Turut hadir sama dalam lawatan ini ialah En. Shahril Nizam, Pengarah Tourism Johor; En. Mohd Amin Bin Kadiman, Timbalan Pengarah Tourism Johor; En. Mohd Fa'iz Bin Salehon, Yang Dipertua MDSR; Ahli Majlis Jawatankuasa Pelancongan MDSR; serta Ketua-Ketua Jabatan/Unit MDSR.