MENU

Satu Sesi Perbincangan Mengenai Pembangunan Industri Nanas Johor telah diadakan di Bilik Mesyuarat Aras 4, Majlis Daerah Simpang Renggam. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YB Dato' Zahari Bin Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar.

Antara fokus utama adalah cadangan pembangunan pusat agropelancongan berasaskan nanas di Simpang Renggam, selari dengan hasrat YAB Dato' Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor, untuk menjadikan Johor, khususnya daerah Kluang, sebagai destinasi utama agro pelancongan bagi industri tanaman nanas.

Inisiatif ini juga bertujuan untuk menjadikan Simpang Renggam sebagai hab agropelancongan berasaskan tanaman nanas, bukan sahaja sebagai pusat pengeluaran tetapi juga sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman menyeluruh mengenai industri nanas dari ladang sehingga ke pasaran.

Industri nanas di Malaysia terus berkembang pesat dengan nilai eksport mencecah RM1.483 bilion. Malaysia kini berada di kedudukan ke-21 sebagai pengeluar nanas dunia dan ke-5 dalam kalangan negara ASEAN. Johor memainkan peranan utama dalam industri ini, dengan keluasan tanaman nanas terbesar di Malaysia iaitu 56.66% daripada jumlah keseluruhan.

Dalam negeri Johor, Kluang mencatatkan keluasan tanaman terbesar, diikuti oleh Pontian, Batu Pahat, Muar, dan Kota Tinggi. Dari segi varieti yang ditanam, MD2 merupakan jenis nanas paling dominan dengan 66% daripada keseluruhan kawasan tanaman, diikuti oleh Moris (20%), Josapine (9%), dan lain-lain varieti sebanyak 5%.

Turut hadir ke sesi perbincangan hari ini ialah YBrs. Tuan Hj. Sheikh 'Umar Bagharib bin Ali, Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), En. Mohd Fa'iz Bin Salehon, Yang DiPertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), En. Wan Hafiq bin Abdul Jalil, Setiausaha Sulit Khas, Menteri Besar Johor, En. Ahmad Fitri Shah Mohd Yussof, Pengarah LPNM Johor, Pn. Azlina bte Md Dom, Pegawai Pertanian Daerah Kluang, En. Mohd faizal bin Md Said, Ketua Whip MDSR, En.Mohd Hafiz Bin Shukor, Pegawai Khas Menteri Besar Johor.