MENU

Program dimulakan dengan lawatan ke Stesen Keretapi Landasan Berkembar KTMB Layang-Layang bagi meninjau perkembangan infrastruktur rel yang bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pelancongan di Simpang Renggam.

Seterusnya, sesi berbelanja barangan dapur bersama Ketua Isi Rumah di Pasaraya Econsave turut diadakan bagi membantu golongan yang memerlukan dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

Lawatan diteruskan dengan Walkabout Bazar Ramadan di Laman Kg Melayu, Simpang Renggam, di mana YAB Dato' Onn Hafiz Bin Ghazi, Menteri Besar Johor, meluangkan masa beramah mesra dengan para peniaga serta pengunjung bazar.

Program diakhiri dengan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Jamek Bandar Renggam yang turut menyaksikan penyerahan sumbangan kepada 1,500 penerima.

Bantuan yang disalurkan termasuk Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM200,000.00 daripada Pejabat Menteri Besar Johor kepada Pusat Khidmat DUN Machap, Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri Majlis Agama Islam Negeri Johor berjumlah RM136,950.00 kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Daerah Kluang, Bantuan Belanja Dapur Asnaf berjumlah RM60,000.00 kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Daerah Kluang, serta Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM106,500.00 kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kluang.

Turut hadir sama YB Tuan Hj Mohd Fared Bin Hj Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam; YB Dato’ Seri Utama Ir Hj Hasni Bin Mohamad, Ahli Parlimen Simpang Renggam; YB Tuan Hj Abd Mutalip Bin Abd Rahim, ADUN Layang-Layang; Puan Hjh Azurawati Binti Wahid, Pegawai Daerah Kluang; Tuan Mohd Fa’iz Bin Salehon, Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam; As-Syeikh Tuan Hj Sabarudin Bin Isnin, Kadi Daerah Kluang; serta Ustaz Nor Hisham Bin Md Sawal, Amin Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Daerah Kluang.

Semoga sumbangan ini dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.