MENU

Satu operasi bersepadu diantara Jabatan Perlesenan, Jabatan Kesihatan Awam, Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Kesihatan Daerah Kluang telah diadakan pada 09 Julai 2024. Ianya bertujuan bagi memantau kebersihan serta kepatuhan premis dalam menjalankan perniagaan.

Terdapat 12 buah premis perniagaan makanan yang telah diperiksa di dalam operasi bersepadu pada kali ini yang melibatkan kekuatan 15 pegawai dan anggota berlainan agensi. Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis tersebut, sebanyak 2 notis yang berkaitan tiada pemeriksaan perubatan iaitu suntikan tifoid bagi pengendali makanan telah dikeluarkan oleh Jabatan Penguatkuasaan Majlis Daerah Simpang Renggam. Daripada 12 premis yang diperiksa, hanya 2 premis sahaja yang mendapat rating gred A yang telah diberikan oleh Jabatan Kesihatan Awam MDSR selepas premis memenuhi kehendak bagi sesebuah premis makanan yang bersih.

Dapatan lain daripada operasi ini, terdapat premis yang telah melakukan kesalahan dan dikenakan notis untuk hadir ke mahkamah di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 peraturan (3) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 ke atas kesalahan seperti tidak mendaftar premis makanan di dalam sistem Fosim, peti sejuk di dalam premis kotor dan juga terdapat kehadiran lilati di premis-premis yang telah diperiksa.

Pejabat Kesihatan Daerah Kluang melalui Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan telah mengeluarkan 1 Perintah Penutupan Premis Makanan Tak Suci di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 semasa operasi dijalankan. 1 notis diobawah peraturan 11 PPKM 2009 juga dikeluarkan atas kesalahan pengendali makanan tidak mengambil suntikan tifoid dan kursus pengendali makanan. Selain itu juga, sebanyak 2 notis di bawah Peraturan 33 di bawah peraturan sama dikeluarkan oleh penguatkuasa kesihatan manakala sebanyak 3 notis Peraturan 34 juga telah dikeluarkan atas kesalahan tidak mengekalkan premis makanan dalam keadaan yang bersih. Satu notis di bawah Sek. 10, Akta Makanan 1983 iaitu notis arahan pembersihan dikeluarkan di dalam operasi kali ini.

Terdapat juga premis dikenakan notis untuk hadir ke mahkamah atas kesalahan tidak mematuhi kehendak berhubung pemakaian pengendalian makanan di bawah Per. 33 Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Sehubungan itu para pengusaha premis perniagaan dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan dikenakan tindakan seterusnya.

#bangsajohor

#MajuJohor

#MakmurDinamikSejahteraResponsif

#simpangrenggamkearahperbandaranlestari