Telah berlangsung Program Taklimat Transaksi Tanpa Tunai anjuran Majlis Daerah Simpang bersama Bank Simpanan Nasional selaku penyedia perkhidmatan yang sudi berkolaborasi untuk merealisasikan digital ekonomi di kawasan Simpang Renggam.
Sesi taklimat dengan lebih lanjut memperkenalkan mengenai pelbagai platform dan kaedah pembayaran tanpa tunai yang tersedia, serta cara untuk memanfaatkan teknologi ini dalam perniagaan dan kehidupan seharian. Selain itu, pendedahan tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil untuk melindungi maklumat dan transaksi kita agar sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Kawasan perniagaan berpusat, seperti Pasar Jumaat IKS Simpang Renggam dan tapak penjaja berkelompok, telah dipilih untuk turut serta dalam usaha ini. Kolaborasi antara MDSR dan BSN memberi peluang kepada peniaga untuk mewujudkan komuniti digital yang lebih inklusif.
Kerjasama dengan pihak BSN memberi manfaat yang besar kepada pemohon, dengan tawaran seperti Duitnow QR Soundbox secara percuma serta pendaftaran akaun bank yang juga diberikan secara percuma. Peluang ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya. Pendaftaran akaun juga telah dipermudahkan dengan dokumen yang minimum. Terima kasih kepada pihak BSN atas segala usahasama yang telah dibawa ke Simpang Renggam.
Dimulakan dengan ucapan daripada oleh En Mohd Fa’iz Bin Salehon, Yang Dipertua MDSR dan En Mohamad Zulkarnain Bin Ismail, Pengarah Negeri BSN Negeri Johor. Turut hadir sama En Mohamad Faizal Bin Mat Said, Ketua Whip MDSR bersama ahli majlis dan En Mohamed Azahari Bin Mohamed Rawi, Setiausaha MDSR serta pengurusan Bank Simpanan Nasional.
Kepada 85 peserta yang hadir pada hari ini, Pihak Majlis mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kerana telah berjaya menyahut cabaran dan peluang untuk memperluaskan pengetahuan dan kemahiran dalam menggunakan sistem transaksi tanpa tunai dengan lebih berkesan dan bijaksana. Semoga program ini memberikan manfaat yang besar kepada semua peserta dan kita dapat sama-sama memanfaatkan teknologi dalam membangunkan ekonomi digital yang lebih maju dan progresif.