MENU

Susulan Operasi bersepadu terhadap aktiviti perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dengan kerjasama PDRM, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Johor di kawasan Kulai,sebanyak tujuh (7) premis perniagaan telah diarah tutup serta-merta. Tindakan ini diambil kerana mereka didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen dan melanggar syarat-syarat yang ditetapkan di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKu) 2019. Selain itu, dua (2) premis perniagaan juga telah disita kerana beroperasi tanpa lesen.

Tiga (3) Notis Amaran Pembatalan Lesen turut dikeluarkan kepada pemilik premis yang melanggar syarat lesen, menunjukkan komitmen kami dalam memastikan pematuhan undang-undang yang dikenakan terhadap operasi perniagaan. SSM juga telah mengenakan tiga (3) kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 2016.

Suka untuk saya tegaskan dalam usaha untuk mengawal selia perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang tempatan, 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Johor telah melancarkan Operasi Bersepadu.

Operasi ini bertujuan untuk melindungi kepentingan peniaga tempatan serta memastikan persaingan yang adil dan saksama dalam sektor perniagaan.

Objektif Operasi adalah bagi memantau aspek Pematuhan Undang-Undang bagi memastikan semua perniagaan yang diusahakan oleh warga asing mempunyai lesen yang sah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh PBT.Selain itu, ia juga adalah bagi melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana perniagaan yang melanggar undang-undang dan peraturan.

Operasi ini juga berperanan bagi meningkatkan kesedaran serta memberi maklumat dan pendidikan kepada peniaga tentang tanggungjawab dan pelaksanaan peraturan perniagaan di Johor. Dalam masa yang sama operasi ini adalah bagi menjaga kepentingan peniaga tempatan serta memastikan tidak berlaku amalan tidak beretika dalam pasaran. Operasi ini melibatkan kerjasama antara 16 PBT di negeri Johor, termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Pihak Polis Diraja Malaysia.

Langkah telah diambil dalam pelaksanaan operasi ini adalah pemeriksaan ke atas premis-premis yang dikendalikan oleh warga asing secara serentak di seluruh PBT, semakan dokumen perniagaan dan lesen untuk memastikan kesahan dan pematuhan serta mengedarkan risalah dan maklumat kepada peniaga mengenai prosedur yang perlu dipatuhi.

Dalam operasi yang dilaksanakan pada Disember 2024 merekodkan 12 Kes Penutupan Premis, 52 Kes Sitaan, 3 Notis dan 35 Kompaun dengan nilai RM 30 ribu.

Manakala Operasi Januari 2025 merekodkan 8 kes penutupan premis, 75 kes sitaan, 21 notis dan 17 kompaun dengan nilai kompaun RM 12 ribu.

Tindakan telah diambil terhadap peniaga yang didapati melanggar undang-undang, termasuk denda dan arahan penutupan serta merta.

Pihak Berkuasa Tempatan Johor akan terus melaksanakan operasi ini secara agresif bagi memastikan perniagaan di Johor dijalankan dengan adil dan dalam kerangka perundangan yang betul. Saya juga menggalakkan semua peniaga, baik tempatan mahupun asing, untuk mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

Dengan pelaksanaan operasi ini, saya berharap agar setiap peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan, demi kepentingan ekonomi negara dan kebaikan masyarakat. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan pihak yang terlibat dalam operasi ini.

PEJABAT PENGERUSI JAWATANKUASA PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN NEGERI JOHOR